PENDAKI KKKP TAWAN GUNUNG ANGSI SEMPENA MERAIKAN UTHM 30 TAHUN
Oleh Dr. MOHD FAISAL HUSHIM, Ts. SUHAIRI ISMAIL, En. MOHD NAZRIN MUSLING
16 September 2023 merupakan tarikh keramat bagi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mana genaplah 30 tahun penubuhan UTHM selaku salah sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam di Malaysia. Ditubuhkan pada 16 September 1993 sebagai Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) kemudian melalui beberapa fasa naiktaraf sehinggalah pada tahun 2007 diumumkan sebagai Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Untuk meraikan UTHM 30 tahun ini, beberapa aktiviti dan program telah dirangka dan dijalankan oleh pelbagai pusat tanggungjawab UTHM. Salah satu aktiviti yang telah dijalankan adalah Program Eksplorasi Gunung Angsi, Sempena UTHHM 30 Tahun. Program ini telah mengumpulkan lebih 30 pendaki yang terdiri daripada pelbagai pusat tanggungjawab UTHM. Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) turut menjayakan program ini yang mana turut disertai oleh tiga pendaki KKKP.
Tiga pendaki KKKP yang mewakili bahagian unit masing-masing iaitu Dr. Mohd Faisal Hushim mewakili bahagian Pengetua dan Timbalan Pengetua KKKP, Ir. Ts. Shaiful Fadzil Zainal Abidin mewakili Felo KKKP, dan En. Mohd Nazrin Musling mewakili Pentadbiran KKKP. Program ini telah dijalankan pada 11 Mac 2023 yang lalu. Pendakian bermula pada jam tiga pagi yang melalui laluan Bukit Putus. Pendakian mengambil masa selama tiga jam untuk sampai ke puncak. Beberapa aktiviti telah dijalankan di puncak Gunung Angsi antaranya plogging (mengutip sampah dan membersihkan kawasan sekitar), sesi sembang santai dan beramah mesra sesama pendaki dan sesi bergambar kenangan. Perjalanan turun bermula jam lapan pagi melalui laluan ke Ulu Bendul yang mana i amengambil masa leboh kurang 4 jam.