Ucapan Pengarah PRP UTHM
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia telah menggariskan sebuah hala tuju dan visi yang jelas untuk menjadikan UTHM sebagai Global Technopreneur University menjelang tahun 2030 yang memerlukan penglibatan dan usahasama pelbagai pihak bagi menjayakannya. Salah satu strategi yang digariskan adalah melalui pemerkasaan pendigitalan. Pusat Perumahan Pelajar (PRP) UTHM menyahut seruan ini melalui pengenalan 4 anjakan PRP iaitu Kecemerlangan Tadbir Urus, Fasiliti dan Infrastruktur, Greater PRP dan Pemerkasaan Pelajar. Keempat-empat anjakan ini turut memberikan penekanan dan kepentingan digitalisasi dalam menjamin tadbir urus, pengurusan dan pendekatan yang berkesan.
Selaras dengan itu, inisiatif untuk mewujudkan portal rasmi PRP ini telah diperkenalkan. Portal ini bukan sahaja akan memuatkan data-data dan maklumat berkaitan perumahan dan penginapan pelajar, malah menjadi medium perhubungan pantas di antara PRP dengan pemegang-pemegang taruh yang terlibat termasuklah para pelajar, ibu bapa dan masyarakat. Pengenalan portal ini dilihat sebagai sebuah pendekatan Citizen-Centred Public Service dalam memenuhi keperluan masyarakat yang canggih dari segi ICT, berfikiran terbuka dan moden. Portal ini juga diharapkan dapat menjadikan PRP sebagai sebuah Pusat Tanggungjawab yang terkehadapan, berdaya saing dan mampu untuk menjadi penyelesaian masalah bukan sahaja di peringkat universiti malah di peringkat komuniti dan negara.
Di kesempatan ini juga saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat pihak Pengurusan Tertinggi Universiti khasnya YBrs. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Sr. Ts. Dr. Hj. Lokman Hakim Bin Hj. Ismail di atas sokongan yang diberikan bagi menjayakan inisiatif ini. Tidak dilupakan pasukan Komunikasi Strategik PRP yang telah bertungkus lumus dan mempamerkan komitmen yang tinggi dalam mewujudkan portal ini.
“Dengan Hikmah Kita Meneroka”
Akhir kata, saya berharap agar portal PRP yang telah dibangunkan ini dapat menjadi pusat perkongsian maklumat yang boleh dimanfaatkan oleh semua pemegang taruh PRP. Capaian-capaian mesra pelanggan yang disediakan juga diharapkan agar dapat memudahkan urusan semua pihak dan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penyampaian tadbir urus PRP dengan berkesan.