Skip to main content

LAWATAN MUHIBAH DAN JALINAN KERJASAMA ANTARA KKKP DAN KOLEJ KOMUNITI PAGOH

    Oleh Dr. MOHD FAISAL HUSHIM, Ts. SUHAIRI ISMAIL, En. MOHD NAZRIN MUSLING

    Satu sesi lawatan muhibah telah dilaksanakan antara Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) dengan pihak Kolej Komuniti Pagoh. Antara tujuan lawatan ini adalah bagi membina jalinan kerjasama antara ke dua belah pihak. Sesi lawatan dan perbincangan ini telah dihadiri oleh Dr. Mohd Faisal Hushim selaku Timbalan Pengetua 1 bersama dengan En. Mohd Nazrin Musling yang merupakan Penolong Pengurus Asrama KKKP. Pihak Kolej Komuniti Pagoh telah diwakili oleh dua orang staf iaitu Pengarah Kolej Komuniti Pagoh, En. Mohd Hafiz Hamdan bersama dengan Pegawai Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), Ts. Nursalizah Muslim.

    Semasa sesi lawatan ini dijalankan, beberapa perkongsian maklumat antara kedua belah pihak telah dilaksanakan. Beberapa cadangan pelaksanaan kursus-kursus kemahiran tambahan yang boleh ditawarkan telah dibentangkan oleh pihak Kolej Komuniti Pagoh. Cadangan kursus-kursus ini dilihat sangat berguna untuk membantu para penghuni KKKP khususnya serta masyarakat setempat mendapat kemahiran tambahan.

    Diakhir lawatan ini, wakil KKKP telah dibawa melawat ke sekitar kawasan Kolej Komuniti Pagoh bagi melihat sendiri kemudahan-kemudahan yang boleh digunakan semasa pelaksanaan kursus tambahan atau pun boleh digunakan sebagai sewaan luar. Antara tempat dilawati adalah makmal komputer, dewan aktiviti, ruang memasak, dan ruang menjahit yang mana kesemuanya boleh memuatkan hampir 20 orang satu masa. Semoga dengan berlangsungnya lawatan muhibah ini dapat menjalinkan kerjasama strategik antara pihak KKKP dan Kolej Komuniti Pagoh di dalam membantu para penghuni KKKP dan masyarakat untuk terus cemerlang dan memperoleh nilai tambah di dalam kemahiran tertentu.