Skip to main content

PROGRAM WELLNESS BOOTCAMP BERJAYA TARIK PERHATIAN
WARGA UTHM DAN ORANG AWAM BERKAITAN KESIHATAN

    Oleh Dr. MOHD FAISAL HUSHIM, En. MOHD NAZRIN MUSLING

    Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) telah mengadakan program Wellness Bootcamp peringkat daerah Muar yang bertempat di sekitar Hab Pendidikan Tinggi Pagoh. Wellness Bootcamp ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Ir Ts Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri N.08 Bukit Pasir merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor. Program ini dijalankan bersempena dengan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (Wellness Month) yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Beberapa aktiviti telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung antaranya adalah acara larian sejauh 10km, berbasikal sejauh 10km, explorace, pemeriksaan kesihatan dan gigi secara percuma, khidmat nasihat dan kaunseling, nyanyian busking, pocket talk, jualan trak makanan dan pameran yang berasaskan kesihatan diri & mental. Antara tujuan program ini dijalankan adalah untuk meningkatkan tahap literasi warga UTHM dan orang awam terhadap kesihatan diri dan mental. Disamping merealisasikan hasrat kerajaan untuk membina dan memperkasa rakyat Malaysia yang sihat sejahtera menerusi pembudayaan hidup sihat.

    Menurut penasihat program, Dr. Mohd Faisal Hushim merangkap Timbalan Pengetua 1 KKKP, program ini dirangka berdasarkan lima domain pembudayaan hidup sihat iaitu minda sihat, aktiviti fizikal, pemakanan sihat & selamat, pencegahan tingkah laku dan kebersihan & kesihatan. Tambah beliau, program ini merupakan satu platform yang terbaik untuk warga UTHM dan masyarakat sekitar dalam mengamalkan gaya hidup sihat. Disamping itu ia merupakan satu medium perkenalan dan seterusnya membina sinergi baharu dalam mengeratkan hubungan silaturrahim antara warga UTHM dengan komuniti setempat. “Bagi mengukuhkan solidariti promosi kesihatan dan memupuk semangat berpasukan di kalangan mahasiswa, kolaborasi antara agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat telah dijalankan.”

    “Program ini telah dijayakan bersama melalui kerjasama yang sangat baik dari pihak  Pejabat Pergigian Daerah Muar, Pejabat Kesihatan Daerah Muar, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Muar, Politeknik Tun Syed Nasir, dan Klinik Nur Sejahtera Muar, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya. Semoga dengan pelaksanaan program ini, literasi kesihatan di kalangan warga UTHM dan masyarakat setempat dapat ditingkatkan dan seterusnya membina masyarakat yang sihat dan menyumbang kepada keharmonian hidup di masa hadapan.

    #SihatSepanjangHayat